PENGENALAN

Perkampungan ‘Orang Asli’

Daerah Batang Padang meliputi beberapa kawasan petempatan masyarakat 'Orang Asli'. Dalam erti kata yang sebenar, 'Orang Asli' bermaksud orang yang mula-mula menetap di kawasan tersebut dan dapat membuktikan sejarah petempatan awal di kawasan tersebut. Para pengunjung akan menemui sebilangan daripada kampung-kampung ini di sekitar kawasan air terjun Lata Iskandar dan Kuala Woh. Sumber utama pendapatan bagi masyarakat Orang Asli ini adalah daripada hasil penjualan kraftangan tradisional, buah-buahan tempatan seperti durian dan pelbagai jenis hasil hutan yang lain termasuk petai. Ukiran kayu yang diukir oleh masyarakat Orang Asli boleh dijadikan cenderamata yang menarik untuk perhiasan di rumah. Untuk kemudahan para pengunjung yang berkunjung ke lokasi ini sebuah kantin, tandas awam serta bilik persalinan dan enam buah petak karavan dan tempat perkhemahan telah disediakan.

Kota Tampan

Kota Tampan merupakan sebuah kawasan penempatan khazanah-khazanah artifak purba. Kerja-kerja cari gali yang telah dijalankan disini telah menjumpai alat-alat serta perkakas yang dipercayai digunakan pada Zaman Gangsa. Penemuan ini telah membuktikan bahawa terdapat penempatan awal masyarakat di kawasan ini yang telah bermula sejak zaman itu lagi.

Santuari Burung Kuala Gula, Daerah Kerian

Santuari Burung Kuala Gula merupakan satu taman perlindungan yang menerima kunjungan pelbagai jenis spesis burung eksotik dan tempatan yang mencari perlindungan serta membuat sarang di sini. Adalah dianggarkan lebih 160 jenis spesis burung termasuklah yang di dalam kategori haiwan lindungan telahpun ditemui. Di antaranya yang menjadi perhatian adalah Burung Botak Upeh ataupun "The Milky Stork". Tempoh di antara bulan September hingga Mac adalah merupakan tempoh terbaik untuk lawatan berdasarkan ribuan burung-burung yang datang berkunjung untuk singgah sementara. Santuari ini juga menjadi tempat perlindungan bagi lain-lain spesis haiwan seperti memerang, monyet, dan ikan lumba-lumba. Pada masa-masa yang tertentu, pengunjung akan dapat melihat dengan lebih jelas lagi haiwan-haiwan tersebut di habitat semulajadi mereka.

Limbungan Bot Teluk Intan

Hampir kebanyakan penduduk yang menghuni perkampungan di sekitar pesisiran pantai di Negeri Perak telah menjadi perekabentuk dan pembuat bot-bot kayu sejak turun-temurun lagi. Industri kecil ini secara tidak langsung telah mewujudkan banyak limbungan di sekitar pesisiran bandar Teluk Intan. Kayu cengal adalah salah satu jenis kayu yang menjadi pilihan popular dikalangan pembuat bot berdasarkan jenis kayunya yang sangat keras dan berat serta ketahanannya yang sesuai untuk digunakan di dalam air masin ataupun air sungai.

Kek Lok Tong & Sam Poh Tong

Struktur-struktur rumah berhala ini dibina dengan begitu indah sekali di celahan gua-gua batu kapur yang tinggi dan berongga. Terletak berhampiran dengan Gunung Rapat, struktur ini menjadi satu pemandangan yang menarik untuk dinikmati. Ia merupakan hasil seni yang amat mengagumkan, dengan patung-patung Buddha yang terdiri daripada pelbagai bentuk, dikelilingi pula oleh stalaktait dan stalakmait semulajadi hasil daripada pembentukan batu-batan yang memakan masa beribu-ribu tahun. Di sini, pengunjung boleh menikmati makanan sayuran yang disediakan sambil menikmati suasana damai di tengah kolam-kolam bunga teratai.

Perak Tong

Perak Tong adalah merupakan sebuah rumah berhala yang juga dibina di celahan gua batu kapur, terletak di Jalan Kuala Kangsar, 6km ke utara Bandar Ipoh. Rumah berhala ini menempatkan lebih daripada 40 buah patung-patung Buddha, dan di tengah-tengahnya terdapat sebuah patung Buddha setinggi 12.8 meter yang dibina sebegitu rupa seperti ianya dalam keadaan sedang duduk. Di luar tempat ibadat utama, terdapat satu laluan yang menghala ke bahagian dalam gua tersebut. Setelah mendaki kira-kira 385 buah anak tangga, pengunjung akan mendapati mereka berada di dalam bahagian gua yang terbuka luas, memperlihatkan sebuah pemandangan persekitaran luar bandar yang mengagumkan. Di bahagian dinding gua pula, para pengunjung boleh menikmati lukisan dinding mistik yang menarik dan mempesonakan.

Gua Tambun

Lukisan pada dinding batu daripada zaman Neolitik ini sudah pasti menjadi satu daya penarik bagi Gua Tambun yang terletak di Tambun, tidak jauh dari Bandaraya Ipoh. Lukisan-lukisan yang telah berusia hampir 2,000 tahun ini menjadi satu bukti kewujudan penempatan manusia serta menceritakan tentang kehidupan penduduk terawal di Semenanjung Malaysia. (Gua ini tidak dibuka kepada awam tetapi kumpulan individu yang berminat untuk membuat kajian boleh memohon kebenaran pihak Muzium Negeri Perak.)

Gua Tempurung

Dipercayai wujud sejak 8000 sebelum Masehi, Gua Tempurung boleh dikategorikan sebagai gua batu kapur semulajadi yang terbesar di Malaysia. Terletak kira-kira 24 kilometer dari Bandaraya Ipoh, gua ini mempunyai kelebaran sehingga 1.3 kilometer dan membentuk lima kubah yang sangat besar dengan bahagian siling yang menyerupai kulit kelapa. Setiap kubah mempunyai kelainan dari segi pembentukan stalagmit dan stalagtit serta suhu, tahap air, kandungan batu kapur dan batu marmar yang berbeza-beza.

Menara Peringatan Birch

Di sepanjang Jalan Raja Musa Aziz di Bandaraya Ipoh, tegak berdiri sebuah menara jam yang dibina sempena memperingati seorang Residen British, J.W.W.Birch, yang telah terbunuh di Pasir Salak pada 2 November, 1875. Di sekitarnya juga terdapat taman permainan kanak-kanak dan gerai-gerai makanan yang menjadi salah satu tempat tumpuan di Bandaraya Ipoh.

Menara Condong Teluk Intan

Dikatakan menyamai Menara Condong Pisa di Itali, Menara Condong Teluk Intan di tengah-tengah bandar Teluk Intan menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia dan salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal. Seperti Menara Condong Pisa, Menara Condong Teluk Intan juga condong ke arah kirinya. Tegak berdiri pada ketinggian 25.5 meter, pembinaan terperincinya memberi satu pandangan bahawa ianya terdiri daripada 8 aras. Namun, jika ianya dilihat daripada bahagian dalamnya, seseorang pengunjung itu pasti akan menjadi kehairanan jika didapatinya ketinggian menara tersebut hanyalah kira-kira setinggi tiga tingkat sahaja. Struktur yang menyerupai pagoda ini telah dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong, dan pada awal pembinaannya, ia digunakan untuk menempatkan tangki air bagi kegunaan kawasan setempat. Kini, ia berdiri megah sebagai satu binaan bersejarah dan akan terus menjadi satu daya tarikan pengunjung ke Teluk Intan.

01 03 04