PENGENALAN

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

Konsep untuk mempunyai sebuah kolej Melayu yang ekslusif untuk anak-anak Melayu dari golongan elit telah dicetuskan oleh Sultan Idris Mursyidul A'zam Shah (1849-1916). Dengan sokongan dan bantuan daripada Sultan Pahang, Sultan Selangor dan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, konsep itu akhirnya menjadi kenyataan. Pembinaan kolej yang berprestij ini bermula pada tahun 1905 selepas Sultan Idris berjaya meyakinkan pihak British. Sebagai permulaan, Sultan Idris Mursyidul A'zam Shah telah berkenan untuk mendermakan 30 ekar tanah kepunyaannya sebagai tapak kolej. Hasil daripada itu, Kolej Kediaman Melayu pertama bermula pada tahun 1909 dengan pendaftaran seramai 50 orang pelajar. Wiliam Hargreaves, pengetua dari Penang Free School, merupakan pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar yang pertama. Di dalam kawasan MCKK terdapat sebuah kolam renang yang pertama sekali dibina di Perak pada tahun 1924. Mendapat gelaran sebagai "Eton of the East", MCKK kini boleh berbangga kerana telah berjaya melahirkan ilmuwan-ilmuwan yang terkenal, ahli-ahli politik, ahli korporat dan negarawan yang dihormati dan disegani untuk berkhidmat kepada negara. Golongan ini termasuklah Perdana Menteri kita yang kedua, Almarhum Tun Abdul Razak, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abang Abu Bakar, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Dato' Seri Ramli Ngah Talib, Tan Sri Azraai dan Almarhum Ayahanda kepada Sultan Brunei. Kini, Alumninya adalah terdiri daripada sebilangan besar tokoh-tokoh negara dalam pelbagai bidang.

Ladang Ternakan Rusa

Kampung Manderang, sebuah tempat yang terletak di Sungkai, Perak terdapat sebuah ladang rusa yang terbentang kira-kira 100 hektar luasnya yang telah ditubuhkan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar. Di sini, terdapat pelbagai spesis rusa yang dibiarkan hidup bebas, seperti berada di dalam habitat semulajadi mereka. Ditubuhkan pada tahun 1978 dengan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhilitan, ladang ini juga menyediakan tempat lindungan bagi spesis-spesis burung tertentu dan dan pelbagai hidupan liar yang lain, sebagai usaha lanjutan untuk mengekalkan serta mencegah kepupusan haiwan-haiwan tersebut. Ladang ini dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 4.15 petang (setiap hari termasuk cuti am) dan masuk adalah percuma.

Port Weld

Port Weld, suatu ketika dulu, pernah menjadi sebuah pelabuhan yang tersibuk di wilayah ini dengan pelbagai kemudahan disediakan terutama untuk mengeksport bijih timah yang telah diproses. Dibuka pada tahun 1877 sebagai laluan utama untuk kapal kargo, Port Weld kini lebih dikenali sebagai Kuala Sepetang. Tidak lagi menjadi pelabuhan utama, kini ia lebih banyak menempatkan bot-bot memancing.

Kelab Golf DiRaja Perak

Kelab Golf Diraja Perak boleh dikategorikan sebagai salah sebuah daripada kelab golf yang termashyur di negara ini. Mempunyai keluasan padang hampir 6,214 meter persegi, Kelab ini menganjurkan kira-kira 72 buah pertandingan tahunan pelbagai peringkat yang dibuka kepada ahli-ahli berdaftar dan tetamu jemputan. Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan-kemudahan lain yang disediakan seperti kompleks kolam renang, gelanggang skuasy dan tenis, ping-pong, lorong bowling, snooker, "driving range", gimnasium dan bilik permainan.

Pusat Pembangunan Kraftangan, Perak

Pusat Kraftangan ini (10 kilometer dari Kuala Kangsar) terletak di Kilometer 40, Jalan Ipoh - Enggor dan bertanggungjawab dalam meningkatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan industri kraftangan, terutamanya di Perak.

Istana Kellie

Pemanduan selama 30 minit ke selatan Ipoh menghala ke arah Batu Gajah akan membawa anda ke Ladang Getah Kinta Kellas. Di tengah kehijauan rumput yang subur, tersergam sebuah istana impian separuh siap kepunyaan William Kellie Smith, seorang peladang berbangsa Scotland yang kaya-raya. Pembinaan yang bermula pada tahun 1915 ke atas istana besar yang mempunyai seni bina lain dari yang lain ini berhenti secara mendadak dengan kematian mengejut pemiliknya. Suasana misteri masih menyelubungi rumah besar yang menyeramkan ini. Adalah dipercayai istana ini juga mempunyai bilik-bilik rahsia dan terowong bawah tanah. Setelah 67 tahun berlalu, khabar-khabar angin tentang peristiwa misteri istana ini telah menguatkan lagi lagenda impian yang tidak kesampaian bagi William Kellie Smith. Lagenda ini jugalah yang telah memberi satu daya tarikan kepada istana ini untuk terus menjadi satu destinasi pengunjung yang bersejarah.Istana ini dibuka kepada kunjungan awam dari jam 8.30 pagi - 7.00 petang (setiap hari).

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Terletak kira-kira 70 kilometer dari Bandaraya Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak merupakan satu memorial kepada sejarah terbilang Pasir Salak dan rakyat Negeri Perak. Pasir Salak mencatatkan sejarah penting di dalam pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kerana disinilah tempat bermulanya era nasionalisme orang Melayu. Pembunuhan Residen British Perak pada ketika itu, J.W.W. Birch telah mencetuskan peperangan di antara pihak Pentadbiran Kolonial British dan orang-orang Melayu. Walaupun kekuatan pihak British mengatasi kekuatan orang-orang Melayu ketika itu, namun ini tidak dapat menghalang sentimen yang telah menular ke setiap sanubari orang Melayu yang sememangnya dahagakan kebebasan dan kemerdekaan. Perjuangan ini berterusan sehinggalah Tanah Melayu berjaya mendapatkan deklarasi kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial British. Penubuhan Kompleks Sejarah ini adalah untuk mengenang kembali sejarah pahit dan perjuangan getir pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan, melalui satu memorial khas yang dibina dengan bentuk replika "sundang", salah satu jenis senjata Melayu yang telah digunakan di dalam pembunuhan J.W.W. Birch. Di antara kandungan menarik Kompleks ini adalah kubur J.W.W. Birch, tempat bersemadinya Sipuntum, orang yang bertanggungjawab membunuh Birch, kubu Datuk Maharajalela, meriam "Lela Rentaka" yang telah digunakan didalam pertempuran menentang askar-askar British, 2 buah replika Rumah Kutai, sebuah rumah tradisional Melayu dan kedai cenderamata serta kaunter pertanyaan. Kompleks Sejarah Pasir Salak ini telah dibina di tepi Sungai Perak dan pada kebiasaannya menjadi tempat tumpuan untuk aktiviti-aktiviti air selain daripada tempat bersejarah. Kompleks ini dibuka setiap hari termasuk cuti umum kecuali pada hari Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga jam 4.30 petang.

Kolam Air Panas Tambun

Dengan pemanduan selama lebih kurang 15 minit dari Bandaraya Ipoh menghala ke Tanjung Rambutan akan membawa anda ke sebuah kaki bukit batu kapur di mana satu pengalaman yang menyeronokkan menanti anda. Disini anda boleh menikmati mandian panas dari mata air semulajadi. Kolam ini dibuka pada setiap hari dari jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Kemudahan yang disediakan termasuklah sauna dan bilik rehat. Bayaran masuk ialah RM 5.00 seorang. Selain daripada kolam ini, terdapat beberapa lagi kolam air panas di Perak. Di antaranya ialah di Sungkai, Pengkalan Hulu, Kampung Ulu Slim di Slim River, Kampung Air Panas di Grik dan Manong di Kuala Kangsar.

Muzium Perak, Taiping

Dibina pada tahun 1883 menjadikan Muzium Perak sebagai muzium yang tertua di negeri ini. Ia menempatkan pelbagai koleksi hebat seperti senjata-senjata kuno, alatan-alatan yang pernah digunakan oleh orang dahulu kala serta perhiasan dan pelbagai khazanah purba. Pelbagai jenis artifak dari Negeri Perak yang sememangnya kaya dengan adat resam dan warisan turun temurun juga dipamerkan di sini. Ia juga merupakan tempat yang paling sesuai untuk memulakan kajian dengan lebih mendalam tentang negeri ini dan pencapaian masa lampaunya. Waktu lawatan adalah dari jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari (termasuk cuti am) dan masuk adalah percuma.

Taman Tasik Taiping

Taman Tasik Taiping merupakan taman tasik rekreasi yang tertua di Malaysia. Beroperasi sejak tahun 1880, ianya terletak berhampiran dengan Bukit Larut dan Zoo Taiping. Terbentuk secara semulajadi, taman tasik ini menawarkan panorama indah dan nyaman dengan lanskap yang begitu menawan. Lambaian pepohon Angsana yang dihembus bayu dengan dahanan yang menyentuhi bumi seakan memberikan pengunjung satu suasana damai dan hening yang tidak pernah dirasai sebelum ini apabila bersiar-siar dibawah pepohon rimbun tersebut. Keindahan fatamorgana ini semestinya memberikan satu pengalaman yang pastinya tidak dapat dilupakan.

01 02 04