PENGENALAN

TAMAN NEGERI PERAK

Keputusan untuk menjadikan kawasan Belum Utara seluas 117,500 hektar sebagai Taman Negeri telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Mac 2000. Berikutan daripada itu, Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 telah dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 27 hingga 30 Mac 2001 yang lalu. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai Taman Negeri Perak (TNP) bagi memulihara khazanah flora dan fauna asli dan menyokong pembangunan eco-tourism, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTN) digubal bagi merancang yang sistematik, teratur dan terkawal. Pembangunan dan kawalan terhadap kawasan Lembah Belum akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kawasan Taman Negeri yang terletak di Belum Utara dan kawasan di luar TNP yang terletak di Belum Selatan (sila rujuk peta). Pembangunan dalam kawasan TNP akan dihadkan kepada aktiviti yang berbentuk "low impact" terhadap persekitaran, iaitu meliputi kegiatan yang menjamin pemuliharaan alam sekitar dengan jumlah bilangan pelawat yang dibenar masuk ke TNP dihadkan kepada satu tahap yang ditetapkan. Penekanan akan diberi kepada kerja-kerja penyelidikan dan pendidikan di samping aktiviti eco-tourism Langkah-langkah akan diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung termasuk penyediaan kemudahan telekomunikasi, guides,rangers dan sebagainya. Aktiviti penerangan akan dibuat terus menerus bagi membina imej yang baik dengan menjelaskan pelbagai kegiatan dan peranan TNP serta menghapuskan salah faham di kalangan pihak-pihak tertentu. Pembangunan TNP akan dibuat berdasarkan kepada lima zon yang memberi tumpuan kepada beberapa aktiviti tertentu iaitu: Pintu Masuk, Pulau Banding yang menyediakan kemudahan jeti, penginapan, pejabat, pusat penerangan pelawat, kedai dan restoran; Pusat Penyelidikan, Sungai kenerong menyediakan kemudahan antaranya jeti, pos dan kuarters renjer, pejabat, makmal dan kantin; Pusat Adventure Eco-Tourism, Sungai Kejar menyediakan kemudahan seperti jeti, pos dan kuarters renjer, kawasan perkhemahan, Bumbun, denai dan kantin; Pusat Etho-botanical and Adventure Eco-Tourism, Sungai Tiang menyediakan kemudahan pos dan kuarters renjer, kawasan perkhemahan, Jeti, Bumbun, tree house, kayak, denai dan kantin; dan Pusat Educational and Adventure Eco-Tourism, Jenut Papan menyediakan pos dan kuarters renjer, kawasan perkhemahan, jeti, Bumbun, denai tree house, canopy walkdan kantin.

Masjid Negeri

Masjid Negeri yang terletak berhadapan dengan Stesen Keretapi Ipoh merupakan di antara salah satu binaan yang terkemuka di Bandaraya Ipoh. Senibinanya yang indah menjadi lambang kemegahan ketamadunan Islam di Perak. Di antara keunikan senibinanya adalah terdapat 125 buah menara yang ditegakkan di atas setiap kubah-kubah mozeknya.

Stesen Keretapi Ipoh

Stesen Keretapi Ipoh terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab merupakan satu struktur binaan yang menakjubkan dengan gabungan senibina Moor dari negara Turki dan senibina moden. Stesen keretapi ini mempunyai ciri-ciri senibina yang hampir sama dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Dengan struktur yang begitu unik, kedua-dua stesen keretapi itu nyata menjadi daya tarikan peminat-peminat senibina di tempatnya tersendiri. Struktur dan rekabentuk senibinanya yang begitu unik telah menyebabkan ianya begitu dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai "Taj Mahal" Ipoh. Dikelilingi oleh taman bunga-bungaan, Stesen Keretapi Ipoh nyata menarik minat ramai pelancong samada dari dalam mahupun luar negara. Di tengah-tengah taman tersebut, terdapat sebatang pohon Ipoh yang ditanam sebagai lambang asal nama Bandaraya Ipoh. Dibina sekitar tahun 1935, bangunan ini juga menempatkan Hotel Majestic selain daripada pejabat urusan Keretapi Tanah Melayu. Bersesuaian dengan sejarah Stesen Keretapi Ipoh itu sendiri, Perak merupakan negeri yang pertama sekali diperkenalkan dengan teknologi keretapi di Malaya dan landasan pertama di sini telah dibina oleh pihak British untuk memenuhi permintaan pengangkutan daripada industri bijih timah.

Taman D.R. Seenivasagam

Terletak di tengah-tengah Bandaraya Ipoh, taman ini mempunyai pemandangan yang indah serta pelbagai kemudahan untuk berekreasi. Ia merupakan salah sebuah kawasan rekreasi yang terkenal, dengan tasik buatan manusia yang mengandungi pelbagai jenis spesis ikan, tapak semaian untuk pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan perhiasan dan kawasan permainan untuk kanak-kanak. Di sana juga terdapat gerbang yang indah, rangka modular, tempat berteduh, lorong pejalan kaki dan pokok Ipoh, yang namanya diambil sebagai nama Bandaraya ini. Penambahan terkini taman tersebut adalah lanskap terbaru Taman Jepun serta kolam Ikan Kap Jepun. Udaranya yang segar dan nyaman serta pelbagai jenis flora dan fauna juga merupakan sebahagian daripada daya tarikan utama pengunjung untuk berkunjung ke taman ini.

Lata Kinjang

Lata Kinjang terletak kira-kira 18 km dari Tapah. Daya tarikan yang utama kawasan air terjun ini ialah rangkaian air terjunnya yang menjunam dari ketinggian 100 meter ke bawah. Di sana juga terdapat ruang-ruang untuk beristirehat dan gerai-gerai makanan untuk para pengunjung. Selain itu, para pengunjung juga boleh melawat taman orkid dan taman bambu.

Zoo Taiping

Dibina sebagai zoo yang pertama di negara ini, Zoo Taiping menempatkan pelbagai spesis haiwan eksotik yang menawarkan satu kunjungan ke habitat semulajadi haiwan yang menarik bagi pelancong-pelancong dari luar bandar Taiping. Zoo ini dibuka kepada orang awam setiap hari termasuk cuti am dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang. Bayaran masuk adalah RM 4.00 untuk dewasa dan RM 2.00 untuk kanak-kanak di antara 3-12 tahun.

Pangkor Laut

Pangkor Laut adalah umpama Pulau Impian (Fantasy Island) Malaysia dan di sinilah terdapatnya Pangkor Laut Resort, satu tempat peranginan yang menjadi impian setiap pengunjung. Dengan kehadiran yang disambut senyuman manis gadis-gadis jelita, ianya tidak ubah seperti tertunainya impian kita selama ini. Pangkor Laut Resort mempunyai tiga pantai utama iaitu, Emerald Bay yang sesuai untuk mandi-manda dan berlibur di bawah sinaran cahaya mentari, Coral Beach syurga untuk aktiviti "scuba diving" yang membolehkan kita menikmati keindahan panorama terumbu karang dan hidupan air serta Royal Bay, bagi penggemar-penggemar aktiviti-aktiviti belayar dan meluncur angin. Pangkor Laut Resort menawarkan penginapan yang berekabentuk senibina Melayu tradisional yang dilengkapi kemudahan serta keselesaan moden seperti penghawa dingin, bilik air dan berandah yang menghadap pemandangan laut ataupun kolam renang. Pengunjung juga boleh menikmati keseronokan aktiviti "snorkeling" ataupun "scuba diving" di pantai Coral Beach yang dipenuhi barisan terumbu karang yang terindah di dunia serta hidupan air yang berwarna-warni. Pengembaraan bot juga disediakan untuk ke pantai Emerald Bay, mandi-mandalah sepuas hati atau hanya sekadar bermalas-malasan di bawah sinaran cahaya matahari. Selain itu, Pangkor Laut Resort juga menyediakan penginapan calet bertaraf antarabangsa yang dilengkapi dengan segala kemudahan untuk berekreasi, sukan air, gimnasium dan sebuah disko untuk bersuka-ria melepaskan penat dan lelah.

Kampung Pangkor

Sebelum meninggalkan Pulau Pangkor, jangan lupa untuk berkunjung ke perkampungan nelayan Pangkor yang menawarkan industri makanan laut kering Berkunjunglah sambil membawa pulang sedikit buah tangan dan makanan laut yang telah diawetkan.

Pantai Puteri Dewi

Pantai yang indah ibarat syurga duniawi ini diberi nama Pantai Puteri Dewi. Sepanjang pantai ini diselimuti pasir-pasir halus yang putih dan bersih yang sentiasa dipukul ombak dari lautan biru yang bergemerlapan di pinggiran hutan tropika yang kehijauan. Di sinilah terletaknya Pan Pacific Resort Pangkor (Tel: 05 - 6851091) yang menawarkan penginapan yang selesa dengan 240 buah bilik, bilik perhimpunan dan kemudahan "scuba diving". Belayar ketika matahari terbenam, memancing, berenang di dalam air laut yang sejuk dan jernih, atau walau apapun aktiviti yang anda pilih, keajaiban dan keindahan Pulau Pangkor akan sentiasa memastikan bahawa ia akan menjadi suatu percutian yang tidak mungkin anda lupakan.

Pantai Teluk Batik

Pantai Teluk Batik yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari bandar Lumut, merupakan sebuah kawasan yang menjadi tumpuan ramai terutamanya untuk aktiviti-aktiviti perkhemahan, perkelahan, mandi-manda atau hanya menikmati sinaran cahaya matahari. Pasir pantai yang putih dan bersih di sepanjang pesisirannya menambahkan lagi daya tarikan bagi setiap aktiviti yang hendak dilakukan. Pengunjung boleh menyewa bilik-bilik penginapan dan pondok-pondok rehat di sepanjang tepian pantai dengan harga yang sangat berpatutan. Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Pengurus 'Teluk Batik Chalets' (05-935 554) untuk membuat tempahan. Di antara aktiviti tahunan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri di sini adalah Pesta Laut yang diadakan pada setiap bulan Ogos. Pesta ini pada kebiasaannya akan menarik ribuan pengunjung untuk berkunjung ke sana. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Pesta tersebut ialah pertandingan sukan air, pertunjukan kebudayaan dan pestaria serta pelbagai jenis gerai makanan juga disediakan. Sila hubungi Pusat Maklumat Pelancong Perak (Perak Tourist Information Centre) untuk mengetahui tarikh Pesta Laut Lumut serta maklumat lanjut pesta tersebut.

Menara Jam Lumut

Menara jam yang terletak di tengah-tengah bandar Lumut ini telah didirikan pada tahun 1960 oleh Syarikat Pengilang Tepung Malaya sebagai satu simbol kemajuan ekonomi pada masa itu. Ia merupakan salah satu mercu tanda peninggalan sejarah yang terdapat di bandar itu. Di antara daya tarikan lain ialah kincir angin setinggi 8 meter. Di sepanjang pesisiran pantainya, bandar Lumut dihiasi dengan lanskap dan seni budaya yang sungguh indah. Ini termasuklah projek kesenian dan kebudayaan yang diberi nama Taman Cempaka Sari yang telah dibina dan dibangunkan menjadi sebuah taman rekreasi. Ia terletak bersebelahan dengan Lumut Country Resort.

01 02 03