AGENSI PELAN LOKASI TARIKAN PELANCONGAN

POLISI

VISI
Untuk menjadikan Negeri Perak sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa berasaskan kepada kemewahan sejarah, budaya dan alam semulajadinya.

LATARBELAKANG
Di dalam dekad ini, Negeri Perak telah berkembang menjadi salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia dengan catatan jumlah bilangan pelancong yang mencapai angka 1.7 juta pada tahun 1998 dan peningkatan kepada 1.9 juta pada tahun 1999. Sehingga kini, sejumlah 139 buah hotel yang mempunyai 6,624 buah bilik telah disediakan khas untuk disewa oleh para pengunjung yang bakal berkunjung ke negeri ini.

Melalui usaha-usaha gigih dalam mempromosikan Perak di mata dunia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang bertaraf antarabangsa, pihak Kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2000 sebagai TAHUN MELAWAT PERAK dengan tema 'PERAK BUMI BERTUAH'.

Penglibatan aktif oleh sektor awam dan swasta banyak membantu dalam kerja-kerja untuk mencapai impian untuk menjadikan Perak sebagai sebuah destinasi pelancongan yang paling terkenal di seluruh dunia pada masa-masa akan datang.

POLISI
Polisi Pelancongan Negeri Perak ialah:

  1. Menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu industri yang boleh menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi dalam negeri.

  2. Memberi fokus penuh kepada produk pelancongan yang sedia ada dan menerokai potensi produk pelancongan yang baru untuk membantu pembangunan industri ini.

  3. Menitikberatkan promosi pelancongan yang berteraskan pasaran dalam dan luar negara.

  4. Membina imej unik berkaitan dengan warisan semulajadi, sejarah dan kebudayaan negeri.

  5. Menggalakkan semangat "Kenali dan Cintai Perak" di kalangan penduduk tempatan.

OBJEKTIF

  1. Untuk mempelbagaikan bidang ekonomi agar ianya tidak hanya bergantung kepada sesebuah sektor sahaja.

  2. Untuk memperkenalkan Perak di seluruh negeri dan juga di mata dunia melalui pelbagai produk yang telah ditawarkan untuk para pelancong.

  3. Untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

  4. Menggalakkan percutian yang lebih lama di negeri ini.

  5. Menggalakkan pembangunan budaya yang berunsurkan pelancongan di kalangan penduduk tempatan untuk memupuk sifat mengenali dan mencintai Perak.

  6. Menggalakkan perkembangan perniagaan kaum bumiputera dan lain-lain industri berasaskan pengkhususan kaum.

  7. Untuk meningkatkan bilangan pengunjung yang berkunjung ke Perak.

  8. Untuk mengekalkan dan memperkayakan khazanah peninggalan sejarah dan budaya yang terdapat di negeri ini.

STRATEGI PEMBANGUNAN PELANCONGAN

  1. Membekal, memperbaiki, melengkapi sepenuhnya dan mengurus secara efisien segala kemudahan asas dan infrastruktur di destinasi-destinasi pelancongan.

  2. Menggalakkan penglibatan secara efektif sektor swasta dan penduduk tempatan di dalam industri pelancongan.

  3. Membekalkan insentif bagi menggalakkan pembangunan industri pelancongan dalam negeri yang berpotensi.

  4. Memperbaiki dan menggalakkan usaha dalam mempromosikan dan memasarkan produk pelancongan di peringkat kebangsaan, sama ada secara persendirian ataupun melalui kerjasama dengan agensi-agensi pusat dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia serta sektor swasta.

  5. Menyediakan kemudahan penginapan yang bersesuaian dengan semua lapisan pengunjung.

  6. Menyediakan pekerja-pekerja yang terlatih dan berkemahiran bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti untuk memenuhi segala keperluan para pengunjung.

  7. Melindungi, memperbaiki dan menguruskan tinggalan sejarah, adat resam dan kebudayaan serta warisan semulajadi yang menjadi daya tarikan para pengunjung dengan lebih efisien.

  8. Menyediakan pelbagai kemudahan bagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian, rekreasi, perniagaan serta mana-mana persidangan yang melibatkan peserta-peserta dalam dan luar negara.

PROGRAM PEMBANGUNAN PELANCONGAN

  1. Pemuliharaan dan Penjagaan Artifak Bersejarah.

  2. Pembersihan dan pengindahan lokasi-lokasi pelancongan.

  3. Pembangunan kemudahan-kemudahan asas di kawasan yang mempunyai potensi sebagai pusat pelancongan.

  4. Pemulihan, pengembangan dan pelengkapan perkhidmatan yang lebih efisien di semua rumah-rumah rehat di seluruh negeri Perak.

  5. Penganjuran program-program latihan untuk memperkembangkan lagi kemahiran berhubungkait dengan industri pelancongan.

  6. Peninjauan teliti untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang mempunyai potensi untuk menjadi lokasi tarikan pelancong.

  7. Promosi program-program yang dibentuk bagi menggalakkan pelancongan dari dalam dan luar negara.

  8. Usaha-usaha berterusan bagi menganjurkan program-program pelancongan untuk sepanjang tahun atau setahun sekali di sesebuah tempat pada satu-satu masa di dalam negeri ini.


View My Guestbook
Sign My Guestbook